Tuesday, April 5, 2011

HALIA (Zingiber officinale)

Halia adalah sejenis tanaman purba. Zingiber ertinya sesuatu yang berbentuk tanduk, ini mungkin ada kaitan dengan bentuk rizom atau umbisinya. Asal usul tanaman halia tidak dapat dipastikan. Ada yang mengatakan tanaman halia berasal dari dataran Asia Tropika, yang merangkumi India hingga ke China. Dengan itu adalah dipercayai bahawa masyarakat India dan China adalah yang mula-mula menggunakan halia. Terdapat juga kenyataan yang mengatakan halia berasal dari Amerika Selatan.

Rizom halia mengandungi 0.8 hingga 3.3 peratus pati minyak dan lebih kurang 3 peratus oleoresin. Kuantiti ini bergantung kepada klon dan juga umur semasa dituai. Selain daripada itu, terdapat juga zat-zat makanan lain seperti vitamin A, B dan C; lemak; protein; asid organik; oleoresin minyak meruap seperti zingeron, zinzerol, zingeberal, zingiberin, borneol, seniol dan feladren.

Secara tradisional halia banyak digunakan untuk menyembuhkan beberapa jenis penyakit seperti kurang nafsu makan, pening, kebas, batuk, kembung perut,, tergeliat, bengkak, gatal, muntah, taun, cirit-birit dan lain-lain. Sebaliknya rizom halia muda digunakan sebagai bahan campuran dalam makanan ringan, minuman dan halua.Halia muda digunakan kerana serabutnya yang lembut dan halus.

Di Eropah, halia dikenali sejak zaman Dioscorides dan Pliny, pada abad pertama sesudah Masihi. Penerangan mengenai halia terdapat dalam Meteria Medica. Di sini halia disifatkan sebagai bahan yang berasa pedas apabila dimakan dan boleh membantu dalam pencernaan dan digunakan sebagai penawar racun.

Halia juga disebut di dalam al-Quran. Sementara itu di dalam Hikayat Seribu Satu Malam telah dicerita tentang khasiat halia sebagai ubat peransang dan pembangkit syahwat.Rosengarten menyatakan bahawa dalam abad ke-5, halia yang ditanam dalam pasu sering dibawa bersama-sama dalam pelayaran yang jauh antara China dan Asia Tenggara. Halia ini digunakan sebagai makanan segar atau digunakan sebagai ubat mencegah sakit perut akibat kekurangan vitamin C.

CEKUR (Kaempferia galanga)

Cekur termasuk di dalam famili halia (zingiberaceal). Ia merupakan tumbuhan herba yang tiada berbatang. Tunas pokok tumbuh terus daripada hujung rizom (umbisi) yang mendatar di bawah permukaan tanah. Biasanya setiap pokok terdiri daripada dua hingga lima helai daun yang tebal berbentuk bujur telur. Bunganya berwarna putih keunguan. Di Jawa, tanaman ini dikenali sebagai kencur.

Cekur mempunyai banyak khasiat. Rizomnya mempunyai aroma yang lembut. Mengikut analisis kimia, rizom cekur mengandungi sebatian minyak pati seperti sineol, borneol, kamphere, asid sinamik dan beberapa sebatia pati minyak yang lain. Baunya yang tersendiri dapat membezakannya dengan jenis halia yang lain.

Rizomnya digunakan sebagai bahan ubatan untuk menyembuhkan pelbagai jenis penyakit seperti kembung perut, batuk, perut memulas, bengkak, muntah, sakit urat saraf, dan lain-lain. Untuk tujuan tersebut biasanya bahagian rizom akan dimakan secara segar. Sesetengah orang lebih gemar meminum air perahan rizom bagi mengubati penyakit-penyakit-penyakit tersebut. Rizom cekur juga banyak digunakan dalam ramuan jamu yang terdapat di pasaran . Selain itu, kajian awal untuk menguji keberkesanan ekstrak rizom cekur sebagai ubat mencegah penyakit lelah telah menghasilkan kesan yang positif. Cekur selalunya digunakan dengan daun jerangau.

Orang Melayu zaman dahulu menggunakan rizom cekur, jerangau dan rempah-rempah lain untuk mengubati demam malaria. Pada peringkat tertentu daun cekur berserta daun intaran dan garam digunakan untuk menyembuhkan penyakit yang sama. Rizom cekur, cekur jerangau dan akar bunga susun kelapa juga dijadikan ubat penyakit resdung.

Masyarakat Cina juga banyak menggunakan rizom cekur dalam ramuan ubat tradisi mereka. Rizom yang matang dibersihkan dan dipotong-potong sebesar satu sentimeter. Kemudian rizom tadi dilunturkan dengan asap sulfan selama satu hari sebelum dikeringkan.. Ia digunakan untuk mengubati sakit gigi, menghilangkan kelemumur dan juga membunuh kutu kepala. Orang Cina juga percayarizom sebagai bahan penyelera makanan, membuang angin dalam perut, mengubati sembelit, sakit kepala, dan sebagainya.

Di Indonesia cekur banyak digunakan oleh kaum wanitanya. Mereka menggunakan cekur dalam semua ramuan ubatan tradisional. Wanita selepas bersalin menggunakan rizom cekur untuk memanaskan bahagian perut, bengkak dan kebas otot.

Di Filipina rizom cekur digunakan untuk menyembuh penyakit selesema dengan cara menghidu rizomnya. Air rizom cekur juga digunakan untuk menyembuhkan luka dalam perut dan sebagai ramuan dalam tonik.

Daripada laporan yang diperolehi nyatalah bahawa cekur merupakan sejenis tumbuhan ubatan yang paling popular digunakan oleh berbilang masyarakat di Nusantara.

No comments:

Post a Comment