Monday, June 13, 2011

Untuk Perhatian Hati

Assalamualaikum...
apa khabar kamu yang bernama Hati?
Masihkah lagi sihat?
Atau mungkin kurang enak dirimu?
Ku harap dirimu kan seceria mentari,
Yang sentiasa menyinari alam ini.
Duhai kau yang bernama Hati,
Jagalah dirimu sebaiknya,
Peliharalah tubuhmu dari anasir-anasir,
Yang cuba menggodamu.
Duhai Kau yang bernama Hati..
Janganlah mudah kau percaya,
Akan dunia yang penuh racun berbisa,
Jangan mudah kau mengalah dan rebah,
dengan dunia yang berselirat kehitamannya..
Kuatkan dirimu... kentalkan jiwamu,
Perangilah nafsumu duhai Hati...
Jadikanlah zikrullah dan ayatullah..
Sebagai benteng dan perisai untukmu.
Untuk dirimu yang bernama Hati,
Usah dibiarkan jiwamu,
Kosong... hambar... dan sunyi...
Tiadanya Iman dan taqwa mengiringi dirimu...
Penuhilah kekosongan dan kesunyian itu,
Dengan bertasbih memuji kebesaran Ilahi...
Moga sentiasa nama-NYA dalam dirimu.
Untuk dirimu yang bernama Hati,
Jangan cepat berundur dan mengalah,
Tatkala ujian datang menyergah,
Walau kadang dirimu ingin rebah,
Kadang terduduk menangis pilu,
Bangkitlah wahai hati..
Ingatlah bahawa DIA sedang mengujimu..
Itu tandanya dirimu masih disayangi oleh-NYA.
Duhai hati yang ku sayangi..
Tolong sentiasa ingatkan dirimu,
Usah terlalu mengejar cinta manusia,
Yang tiada bertepi..
Kerna ia hanya akan memberi luka di hati,
Usah kau meraih cinta manusia,
Jika ia hanya sekadar menyinggah menyapa..
Jangan terlalu mengejar cintanya..
Kerna belum tentu dia menjadi milikmu,
Cukup sekadar cintai dalam diam,
Cukup sekadar dari kejauhan,
Jika benar dia tercipta untukmu
Kau tetap akan bersatu.
Duhai hati yang ku sayangi,
Tetapkanlah dirimu,
Luruskanlah dirimu,
Jangan mudah kau tersungkur,
Dari cubaan yang seringkali ingin menyimpangkan dirimu,
Jitukan semangat jiwamu,
Tepislah segala anasir asing yang cuba menghampiri menggodamu...
Pesanan untukmu wahai Hati...
Walau bagaimana berat sekalipun dirimu diuji..
Walau badai sentiasa menghampirimu..
Walau apa pun kisah yang akan terlukis..
Jangan dibiarkan kelongsong jasadmu..
Sepi dan sunyi tanpa CINTA-NYA...
Semailah haruman kasihmu kepada-NYA...
Moga CINTA-NYA kan menghiasi  mewarnai.. dirimu yang bernama Hati.
Untukmu perhatian hati..
Terangilah dirimu
Dengan cahaya CINTA dari-NYA..
Kejarlah kasih CINTA sejati-NYA
Raihlah CINTA-NYA abadi lagi hakiki.......
Untuk selamanya...

Aku Ingin Berubah

Ya ALLAH,
Maniskan hatiku dengan iman,
Cukupkan aku dengan bekalan sabar,
Meredah lautan hidup penuh dugaan ini.

Ya ALLAH,
Bantuku atasi amarah ini,
Dengan iman dan taqwa,
Kerana kata Luqmanul Hakim,
Taqwa adalah perahu yang utuh,
Di tengah lautan hidup ini.

Ya ALLAH,
Teguhkan hatiku,
Untuk terus melangkah dalam hidup ini,
Yang kurasakan saban hari memeritkan,
Jadikan ia kembali salju,
Kerana sabda Rasulullah s.a.w.,
Dunia ladang akhirat.

Ya ALLAH,
Aku ingin bahagia seperti mereka,
Meredah lautan dalam kedamaian dan kenyamanan.

Andai aku belum layak ya ALLAH,
Maka layakkanlah aku,

Dengan bekalan iman dan taqwa itu,
Yang kuyakini hanya itu,
Yang dapat menyelamatkan daku,
Dari berputus asa dengan rahmatMU...

Aku ingin bahagia,
Dalam dakapan kasihMU ya ALLAH...

Dialah Jodohku

Untuk memilih teman,
Pilihlah yang terbaik...
Terbaik dari segala hal...
Duniawi mahupun ukhrawi...
Kelak dirimu bahagia.
Untuk memilih teman,
Pilihlah yang terbaik...
Soleh dan solehah...
Mukminin dan mukminat...
Hidup sentiasa berlandaskan hukum dan syariat...
Bahagia dunia dan akhirat.
Untuk memilih teman,
Pilihlah yang terbaik...
Baginya dunia hanya sementara...
Akhirat dikejar kerana itulah tempat yang abadi...
Untuk menuju ke syurga Allah.
Untuk memilih teman,
Pilihlah yang terbaik....
Al-Quran jadi panduan hidup...
Sunnah Rasulullah menjadi ikutan...
Moga kekal di dunia hingga ke akhirat...

Untuk Bakal Teman Hidupku

Untuk bakal teman hidupku, bacalah...
Bakal teman hidupku,
Aku diamanahkan melindugi dan membimbing kamu,
Daripada bapamu sebagai wali,
Kepada ku sebagai suami.
Bakal teman hidupku,
Maafkan aku jika tak seperti yang kamu mahu,
Maafkan juga segala tingkah laku ku,
Kerana...
Aku juga manusia biasa seperti kamu.
Bakal teman hidupku,
Ku pinta pada mu,
Sayangilah aku,
Menemani ku menyusuri jalan yang satu,
Jalan yang lurus walau jauh beribu batu.
Bakal teman hidupku,
Maafkan segala cacat celaku,
Maafkan terkasarnya bahasaku,
Maafkan segala salah silapku.
Bakal teman hidupku,
Hanya satu yang ku pinta darimu,
Cintailah aku aku,
Temanilah aku,
Dan...
Jujurlah padaku
Atas nama cinta yang satu.

Wednesday, June 8, 2011

BERCERITA TENTANG JODOH

Jodoh seperti rezeki, ia telah ditentukan. Namun, kita tidak tahu apa yang telah ditentukan oleh Allah. Dengan berpegang pada hakikat itu kita diperintahkan-Nya agar berusaha.Carilah jodoh yang baik, carilah rezeki yang baik dengan jalan yang baik juga. Siapa jodoh kita? Berapa banyak rezeki kita? Dan bila? Itu bukan kerja kita. Itu ketentuan Allah. Milik kita hanya usaha.
Jadi, berusahalah dengan baik, Allah pasti tidak akan mengecewakan kita. Wajib menerima takdir tidak menolak kewajiban untuk mentadbir.
"Dulu saya tidak pernah melihat wajah bakal isteri saya," kata seorang abang yang sangat saya hormati.
"Pelik tu bang. Bagaimana jodoh abang diaturkan?"
"Ikut pilihan guru agama yang mengajar saya," jawabnya pendek.
"Mengapa tidak mahu melihat wajahnya? Kan itu dibenarkan oleh syariat? Barangkali sebab waktu itu tidak ada ruangan sosial seperti Facebook dan Twitter?" gurau saya.
"Memang belum ada. Tetapi ada cara lain. Gambar dan cara-cara yang lain ada, tetapi sebenarnya ada sebab lain..."
Dalam diam, saya rasa hairan. Wajahnya saya tenung. Dia orang yang sangat saya hormati. Sahsiah dan kepimpinannya sangat menawan hati. Tentu ada sebab yang solid untuk dia bersikap demikian.
"Sebelum aktif sebagai aktivis Islam seperti sekarang, saya pernah menjalin hubungan cinta. Dia teman lama sejak di sekolah rendah lagi," jelasnya dengan tenang.
"Habis mengapa putus?"
"Kami putus kerana dia ada jalan tersendiri. Saya ajak bersama saya dalam perjuangan Islam ini tetapi dia selesa dengan gayanya. Lepas, bebas. Jadi kami berpisah setelah 10 tahun bercinta."
Wah, ini kisah cinta yang  dramatik! Saya tidak sangka sama sekali dia yang selama ini kelihatan begitu iltizam, tegas dan berwibawa pernah melalui tragedi cinta.

Isteri Amanah
"Itu kisah sebelumnya. Tetapi bagaimana dengan kisah pertemuan dengan isteri abang sekarang?" kata saya beralih kepada maksud asal pertanyaan.
"Setelah putus, abang terus pinta guru agama carikan jodoh. Ingin fokus kepada gerakan dan amal Islami tanpa diganggu gugat lagi oleh emosi cinta."
"Tetapi mengapa abang tidak mahu melihat bakal isteri pilihan guru? Tidak dibenarkan?"
"Itu keputusan personal saya. Guru memberi kebebasan. Mahu melihat dulu, silakan. Tidak mahu, tidak mengapa."
"Dan abang memilih untuk tidak melihat. Kenapa?"
"Eh, kamu masih tegar dengan soalan asal? Begini, bekas kekasih abang dulu sangat cantik. Abang takut perasaan abang diganggu oleh godaan perbandingan. Takut-takut, bakal isteri tidak secantik kekasih lama. Jadi abang tekad, nikah terus tanpa melihat wajahnya."
Saya terkesima sebentar dan dengan pantas saya bertanya kembali, "Tetapi abang akan terpaksa juga membuat perbandingan setelah bernikah bukan? Setelah nikah, abang akan melihat wajahnya. Dan ketika itu mahu tak mahu godaan perbandingan akan datang juga."
Sekali lagi dia senyum. Matanya bersinar-sinar dengan keyakinan. Jauh di lubuk hati, saya mengakui, dia memang bercakap dari hatinya.
"Amat jauh bezanya antara membandingkan wanita lain dengan bakal wanita yang akan kita nikahi dengan wanita yang telah kita nikahi..."
Pendek dia menjawabnya, namun terus menusuk ke hati saya. Tanpa saya pinta dia menyambung, "Apabila seorang wanita telah kita nikahi dengan sah, dialah wanita yang diamanahkan oleh Allah untuk kita bimbing dan pimpin menuju syurga. Nasib kita dunia dan akhirat sangat berkait rapat dengannya. Dia adalah jodoh yang ditakdirkan buat kita. Dialah wanita yang pasrah dan menyerah kepada kita atas nama Allah. Pada waktu itu, bagaimanapun keadaan wajahnya, siapa pun dia, sudah menjadi soal kedua."

Cantik Itu Relatif dan Subjektif
"Abang tidak takut, kalau tiba-tiba wajah atau keadaannya tidak serasi dengan cita rasa abang? Maksudnya, er... er... kita masih manusia bukan?" saya menduga hatinya.
Dia ketawa tiba-tiba.
"Ya, kita masih manusia. Tetapi kita bukan sekadar manusia. Kita hamba Allah dan khalifah. Isteri ialah teman kita untuk memikul amanah dua misi berat itu. Untuk melaksanakannya, kita bukan hanya perlukan kecantikan seorang wanita, tetapi ilmunya, akhlaknya, sifat pengorbanannya dan kesetiaannya."
"Jadi, untuk itu kecantikan tidak penting?"
"Semua yang datang daripada Allah ada kebaikannya. Namun ingat, Allah lebih tahu apa yang baik untuk kita berbanding kita sendiri. Sesiapa yang tekad menjadi hamba Allah dan khalifah, pasti tidak akan dikecewakan-Nya. Orang yang baik berhak mendapat yang baik, bukan begitu?"
"Bukan yang cantik?" jolok saya lagi.
"Cantik itu relatif dan sangat subjektif. Beauty is in the eye of the beholder, bukankah begitu? Cita rasa manusia tentang kecantikan tidak sama. Malah ia juga berubah-ubah mengikut masa, usia dan keadaan. Tetapi yang baik itu mutlak dan lebih kekal sifatnya," balasnya dengan yakin.
"Maksud abang?"
Dia diam. Termenung sebentar. Mungkin mencari-cari bahasa kata untuk menterjermahkan bahasa rasa.
"Kecantikan seorang wanita tidak sama tafsirannya. Orang budiman dan beriman, menilai kecantikan kepada budi dan akhlak. Pemuja hedonisme dan materialisme hanya fokus kepada kecantikan wajah dan daya tarikan seksual."
Ketika saya ingin menyampuk, dia menambah lagi, "Cantik juga relatif mengikut keadaan. Jelitawan sekalipun akan nampak hodoh dan membosankan apabila asyik marah-marah dan merampus. Sebaliknya, wanita yang sederhana sahaja wajahnya akan nampak manis apabila sentiasa tersenyum, sedia membantu dan memahami hati suami."
"Oh, betul juga tu!" kata saya. Teringat betapa ada seorang kenalan yang sering mengeluh tentang isterinya, "Sedap di mata tetapi sakit di hati..."

Wasilah Memilih Jodoh
"Bagaimana sebaik selepas berkahwin? Tak terkilan?" ujar saya dengan soalan nakal.
"Memang dari segi kecantikan, isteri abang sekarang biasa-biasa sahaja."
"Maksudnya yang dulu lebih cantik?"
"Kamu ni, fikirannya masih berkisar dan berlegar-legar di situ juga. Ingat, yang biasa-biasa akan jadi luar biasa cantik apabila makin lama kita bersama dengannya. Itulah pengalaman abang. Hari ke hari, kecantikan isteri semakin terserlah. Entahlah, apa yang Allah ubah. Wajah itu atau hati ini?"
Wah, dia seakan berfalsafah! Kata-katanya punya maksud yang tersirat.
"Apa kaitannya dengan hati?" layan lagi. Ingin saya terus mencungkil mutiara hikmah daripadanya.
"Kalau hati kita indah, kita akan sentiasa melihat keindahan. Sebaliknya kalau hati rosak, keindahan tidak akan ketara, sekalipun sudah tampak di depan mata. Atau kita mungkin akan mudah bosan dengan apa yang ada lalu mula mencari lagi. Percayalah, orang yang rosak hatinya akan menjadi pemburu kecantikan yang fatamorgana!"
'Ah, tentu dia bahagia kini!' bisik hati saya sendiri.
"Apa panduan abang jika semua ini ingin saya tuliskan?"
"Pilihlah jodoh dengan dua cara. Pertama, jadilah orang yang baik. Insya-Allah, kita akan mendapat jodoh yang baik. Kedua, ikutlah pilihan orang yang baik. Orang yang baik akan memilih yang baik untuk jadi pasangan hidup kita."

Jadi Orang Baik dan Pilihan Orang Baik
"Tapi bang, ramai yang menolak kaedah kedua. Kata mereka, mana mungkin kita menyerahkan hak kita memilih jodoh sendiri kepada ibu bapa, guru atau individu-individu lain sekalipun mereka orang yang baik-baik."
"Tak mengapa. Kalau begitu, guna cara pertama, jadilah orang yang baik."
"Itu susah bang. Bukan mudah hendak menjadi orang yang baik. Ia satu proses yang panjang dan sukar menentukan apakah kita sudah jadi orang yang baik atau belum."
Abang tersenyum lantas berkata, "Kamu menyoal bagi pihak orang lain bukan?"
Saya diam. Dalam senyap saya akui, inilah soalan yang sering diajukan oleh para remaja di luar sana.
"Kedua-dua cara itu boleh dijalankan serentak. Maksudnya, jika kita berusaha menjadi orang yang baik, insya-Allah, Allah akan kurniakan kita jodoh yang baik melalui pilihan orang baik. Ataupun kita berusaha menjadi orang yang baik sambil mencari orang yang baik sebagai jodoh, dan nanti pilihan kita itu direstui oleh orang yang baik!"
Wah, kedengaran berbelit-belit ayatnya, namun jika diamati ada kebenarannya.
"Tetapi ada juga mereka yang menolak pilihan orang yang baik bukan?"
"Kerana mereka bukan orang baik," jawabnya pendek.
"Bukan, bukan begitu. Bolehkah terjadi orang baik menolak pilihan orang yang baik?"
"Ya, tidak mengapa. Tetapi mereka tetap menolaknya dengan cara yang baik. Itulah yang terjadi kepada seorang wanita yang bertanyakan haknya untuk menerima atau menolak jodoh yang dipilih oleh ibu bapanya kepada Rasulullah s.a.w."
"Apa hikmah di sebalik kisah itu bang?"
"Kita boleh melihat persoalan ini dari dua dimensi. Pertama, mungkin ada anak-anak yang tidak baik menolak pilihan ibu bapa yang baik. Hikmahnya, Allah tidak mengizinkan orang yang baik menjadi pasangan orang yang tidak baik. Bukankah Allah telah berjanji, lelaki yang baik hanya untuk wanita yang baik dan begitulah sebaliknya?"
Saya terdiam. Benar-benar tenggelam dalam fikiran yang mendalam dengan luahan hikmah itu.

Jodoh Urusan Allah
"Dan mungkin juga anak itu orang baik tetapi ibu bapanya yang tidak baik itu memilih calon yang tidak baik sebagai pasangannya. Maka pada waktu itu syariat membenarkan si anak menolak pilihan ibu bapanya. Ya, itulah kaedah Allah untuk menyelamatkan orang baik daripada mendapat pasangan hidup yang jahat."
"Bagaimana pula jika anak itu baik, dan ibu bapanya pun baik serta calon pilihan ibu bapanya juga baik, tetapi urusan pernikahan masih terbengkalai. Apa maknanya?" tanya saya inginkan penjelasan muktamad.
"Itulah takdir! Mungkin Allah menentukan 'orang baik' lain sebagai jodohnya. Sementara orang baik yang dicadangkan itu telah Allah tentukan dengan orang baik yang lain pula!"
Tiba-tiba saya teringat bagaimana Hafsah yang dicadangkan untuk menjadi calon isteri Sayidina Abu Bakar oleh ayahnya Sayidina Umar tetapi ditolak. Akhir Hafsah bernikah dengan Rasulullah s.a.w. Kebaikan sentiasa berlegar-legar dalam kalangan orang yang baik!
"Jodoh itu urusan Allah. Sudah dicatat sejak azali lagi. Tetapi prinsipnya tetap satu dan satu itulah yang wajib kita fahami. Orang yang baik berhak mendapat jodoh yang baik. Cuma sekali-sekala sahaja Allah menguji orang yang baik mendapat pasangan hidup yang jahat seperti Nabi Lut mendapat isteri yang jahat dan Asiyah yang bersuamikan Firaun laknatullah."
"Apa hikmahnya kes yang berlaku sekali-sekala seperti itu?"
"Eh, abang bukan pakar hikmah! Tetapi mungkin Allah hendak meninggikan lagi darjah dan darjat orang baik ke tahap yang lebih tinggi."
"Hikmah untuk kita?"
"Jika takdirnya pahit untuk kita, terimalah sebagai ubat. Katalah, kita sudah berusaha menjadi orang yang baik dan kita telah pun bernikah dengan pilihan orang yang baik, tetapi jika takdirnya  pasangan kita bermasalah... bersabarlah. Katakan pada diri bahawa itulah jalan yang ditentukan oleh Allah untuk kita mendapat syurga. Maka rebutlah pahala sabar dan redha seperti Nabi Lut dan Nabi Ayyub atau kesabaran seorang isteri bernama Siti Asiah."
Tok, tok, tok. Tiba-tiba pintu bilik tulis saya diketuk. Wajah watak "abang bayangan" saya pergi tiba-tiba. Tersedar saya daripada lamunan yang panjang. Wajah isteri terserlah di sebalik pintu. Sebalik melihatnya terdetak dalam hati sendiri, apakah aku telah menjadi insan yang baik untuk memperbaikinya?
Ah, hati dilanda bimbang mengingatkan makna satu ungkapan yang pernah saya tulis dahulu: "Yang penting bukan siapa isterimu semasa kau nikahinya, tetapi siapa dia setelah menikah denganmu. Jadi, janji Allah tentang lelaki yang baik untuk wanita yang baik bukan hanya berlaku pada awal pernikahan, tetapi di pertengahannya, penghujungnya malah sepanjang jalan menuju syurga!"

HUKUM-HUKUM CINTA

Antara hukum cinta yang paling diutamakan adalah: Cinta itu memberi, cinta itu mendengar, cinta itu berkorban, cinta itu tanggungjawab, cinta itu mendoakan dan cinta itu memaafkan.
Contohnya, jangan kesibukan menyebabkan kita jarang lagi memberi masa, perhatian, senyuman, nasihat dan doa kepada pasangan kita.
Jangan hanya mengucapkan kalimah-kalimah cinta yang bersifat 'kosmetik' semata-mata. Tetapi luahkan dalam bentuk perbuatan dan tindakan yang dapat dilihat dan dirasakan.
Dan paling penting, jangan sekali-kali diabaikan cinta suci yang menghubungkan cinta antara suami dan isteri.
Cinta itu adalah cinta Allah! Jagalah cinta kita kepada Allah, insya-Allah, Allah akan terus menyuburkan cinta kita suami isteri.
Allah akan berikan hidayah dan taufik ke dalam hati kita untuk terus berpegang pada matlamat.
Kita akan sentiasa beringat bahawa dunia dan segala isinya ini hanya alat untuk memburu cinta Allah. Dan hanya dengan memburu cinta Allah maka cinta kita sesama suami isteri akan dikekalkan-Nya.
Dunia ini umpama lautan, ramai orang yang memburunya ditenggelamkan.
Dunia ini menipu daya, ramai pula manusia yang ditipunya. Betapa ramai orang yang memburu dunia dengan menggadaikan sesuatu yang menjadi miliknya yang sangat berharga.
Iman, kasih saying, cinta sering dilemparkan orang dilitar perlumbaan memburu dunia.
Dunia tidak salah, selagi kita memburunya dengan niat untuk beribadah. Kita jadikan dia alat untuk memburu kebahagiaan akhirat.
Jadilah dunia umpama kebun yang kita pagar, kita bersihkan dan kita tanam dengan pohon-pohon kebaikan yang hasilnya kita tuai di akhirat.
Jadilah dunia umpama jambatan yang kita lalui.
Pastikan ia teguh, kukuh tetapi kita tidak akan berlama-lama di situ... ia hanya jambatan. Tidak ada orang yang membina rumah di atas jambatan. Rumah kita yang hakiki ialah di syurga.
Jika ada rasa-rasa itu di dalam jiwa ketika kita memburu karier, kejayaan dalam perniagaan dan apa jua aktiviti keduniaan, insya-Allah cinta dan kasih sayang tidak akan diabaikan.
Orang yang ada di dalam hatinya cinta Allah, sentiasa ada ruang yang lapang untuk mencintai sesama manusia lebih-lebih lagi suami, isteri dan anak-anaknya.
Dengan cinta itu kita akan menyelamatkan semua keluarga kita daripada neraka akhirat.
Dan neraka di akhirat itu hanya akan dapat kita hindari jika kita berjaya menyelamatkan diri dan keluarga kita daripada neraka dunia.
Apakah neraka dunia itu? Nereka dunia itu ialah hilangnya kasih sayang di tengah-tengah rumah yang besar.
Pudarnya cahaya wajah dan ketenangan hati di tengah sinar lampu yang beribu-ribu ringgit harganya di tengah ruang tamu rumah yang besar itu.
Dan hambarnya perbualan di dalam kereta mewah yang sering bertukar ganti.
Yang ketawa ria ialah pelakon-pelakon di dalam filem yang kita tonton, tetapi hati kita semakin kosong, gersang dan sayu entah apa puncanya!
Lihatlah Rasulullah SAW. Betapa sibuknya baginda... tetapi masih ada masa berlumba lari bersama Aisyah isterinya.
Betapa besar perjuangannya... tetapi masih mampu meluangkan masa bersama isteri yang hendak melihat tarian dan permainan pedang di suatu Hari Raya.
Ketika baginda kaya, dikorbankannya harta... kerana baginda tidak kehilangan cinta.
Ketika baginda miskin... dihadapinya dengan sabar kerana di dalam hatinya tetap ada cinta. Baginda tidak pernah kehilangan cinta kerana di dalam hatinya ada cinta yang lebih besar... cinta Allah!

CINTA ABU BAKAR UNTUK AL-MUSTAFA

'Ketika Rasulullah berada di hadapan, ku pandangi pesonanya dari kaki hingga hujung kepala. Tahukah kalian apa yang menjelma? CINTA!!' (Abu Bakar As-Siddiq r.a)
Langkah kaki pemuda Quraisy tidak lagi terdengar samar. Tak terasa tubuhnya bergetar hebat, betapa tidak, dari celah gua ia mampu melihat para pemburu itu di atas kepalanya. Sesetengah berbisik berkatalah Abu Bakar, "Wahai Rasulullah, jika mereka melihat ke kaki-kaki mereka, sesungguhnya mereka pasti melihat kita berdua."
Rasulullah memandang Abu Bakar penuh makna. Ditepuknya sahabat karibnya ini perlahan sambil berkata, "Janganlah engkau kira, kita hanya berdua. Sesungguhnya kita bertiga, dan yang ketiga adalah Dia, yang menggenggam iaitu Yang Maha Kuasa".
Sejenak ketenangan menyapa Abu Bakar. Sama sekali dia tidak khuatir keselamatannya. Kematian baginya bukan apa-apa, dia hanya lelaki biasa. Sedang untuk lelaki tampan yang kini dekat disampingnya, keselamatan diatas mati dan hidupnya.
Bagaimana semesta jadinya tanpa penerang? Bagaimana Madinah jika harus kehilangan purnama? Bagaimana dunia tanpa cahaya penyampai wahyu?
Sungguh, Baginda tidak gentar dengan tajam mata pedang para pemuda Quraisy, yang akan merobek tubuhnya serta menumpahkan darahnya. Sungguh Baginda tidak bimbang, runcing anak panah yang akan menghunjam setiap inci tubuhnya.
Baginda hanya takut Allah. Muhammad, ya Muhammad...
Mereka berdua berhadapan dan bersepakat untuk berjaga mengikut giliran. Keakraban mempesona itu bukanlah suatu kebohongan. Abu Bakar memandang wajah syahdu di depannya dalam hening. Setiap uratan di wajah indah itu dia perhatikan seksama. Aduhai betapa dia mencintai putera Abdullah.
Kelelahan yang mendera setelah perjalanan jauh, seketika seperti ditelan kegelapan gua. Wajah didepannya yang saat itu berada nyata, meleburkan penat yang dirasai. Hanya pada satu nama yang tersemat didalam dadanya, CINTA!
Kemudian Nabi Muhammad SAW melabuhkan kepalanya di pangkuan Abu Bakar seperti anak kecil, Abu Bakar berenang dalam samudera kegembiraan yang sempurna. Tidak sama yang dapat mempesonakan selama dia hidup kecuali saat kepala Nabi yang 'Ummi' berbantalkan kedua pahanya.
Mata Rasulullah terpejam. Dengan berhati-hati seperti seorang ibu, telapak tangan Abu Bakar mengusap peluh di kening Rasulullah SAW. Masih dalam senyap, Abu Bakar terus terpesona dengan susuk cinta yang sedang beristirehat dipangkuannya. Sebuah rasa mengalun dalam hatinya "Allah, betapa ingin hamba menikmati ini selamanya".
Nafas harum itu terhembus satu persatu yang menyapa di wajah Abu Bakar. Abu Bakar tersenyum sepenuh kalbu. Dia menatapnya lagi, tak bosan. Seketika wajahnya muram, dia teringat perlakuan orang-orang Quraisy yang memburu purnama Madinah seperti memburu haiwan buruan.
Bagaimana mungkin mereka begitu keji mengganggu cucu Abdul Mutalib, yang begitu jujur dan amanah. Mendung di wajah Abu Bakar belum juga surut. Sebuah kuntum keazaman memekar di dasar hatinya, begitu semerbak.
Selama hayat berada dalam raga, aku Abu Bakar, akan selalu berada disampingmu untuk membelamu dan tak akan membiarkan sesiapa pun mengganggumu.
Kesunyian tetap terasa. Gua itu begitu dingin. Abu Bakar menyandarkan tubuhnya didinding gua. Rasulullah SAW, masih tetap dalam lenanya.
Tiba-tiba sahaja, seekor ular mendesis-desis perlahan mendatangi kaki Abu Bakar yang terlentang. Abu Bakar melihatnya penuh waspada, ingin sekali dia menarik kedua kakinya untuk menjauhi dari binatang yang berbisa ini.
Namun, keinginan itu diendahkan dari benaknya, tak ingin dia mengganggu tidur lena Rasulullah SAW. Bagaimana mungkin, dia tidak membangunkan kekasihnya itu. Abu Bakar menahan sakit, ketika itu ular mematuk pergelangan kakinya, tapak kakinya dibiarkan sahaja tidak bergerak sedikit pun. Ular itu meninggalkan mereka setelah beberapa seketika.
Dalam keheningan, sekujur tubuhnya terasa panas. Bias ular menjalar ke seluruh tubuhnya. Abu Bakar menangis dalam diam. Rasa sakit itu tidak dapat ditahan lagi.
Tanpa sengaja, air matanya menitis mengenai pipi Rasulullah SAW yang tengah berbaring. Abu Bakar menghentikan tangisannya, kekhuatiran terbukti, Rasulullah SAW terjaga dan menatapnya penuh dengan rasa ingin tahu.
"Wahai hamba Allah, apakah engkau menangis kerana menyesal mengikuti perjalanan ini?" suara Rasulullah memenuhi ruang gua.
"Tentu saja tidak, saya redha dan ikhlas mengikutimu kemana jua," kata Abu Bakar yang masih dalam kesaakitan.
"Jadi mengapakah engkau menggugurkan air matamu?"
"Seekor ular baru sahaja mematukku, wahai putera Abdullah, dan bisanya menjalar begitu cepat."
Rasulullah menatap Abu Bakar dengan penuh kehairanan, tidak berapa lama bibir manisnya bergerak, "Mengapa engkau tidak menghindarinya?"
"Aku bimbang mengejutkan engkau dari lenamu," jawab Abu Bakar sendu.
Sebenarnya dia kini menyesal kerana tidak dapat menahan air matanya jatuh mengenai pipi Rasulullah SAW dan membuatnya terjaga. Saat itu air mata bukan milik Abu Bakar sahaja. Selanjutnya mata al-mustafa berkabut dan bening air mata tergenang dipelupuknya.
Betapa indah sebuah ukhuwah.
"Sungguh bahagia, aku memiliki seorang sepertimu wahai putera Abu Quhafah. Sesungguh Allah sebaik-baik pemberi balasan".
Tanpa menunggu waktu, dengan penuh kasih sayang, al-mustafa memengang pergelangan kakinya yang dipatuk ular. Dengan menggunakan nama Allah Pencipta semesta alam, Nabi mengusap bekas patukan ular itu dengan air liurnya.
Maha suci Allah, sketika rasa sakit itu tiada lagi. Abu Bakar segera menarik kakinya kerana malu. Nabi masih memandangnya dengan rasa penuh kasih sayang.
"Bagaimana mungkin, mereka iaitu para kafir sanggup menyakiti manusia indah sepertimu. Bagaimana mungkin?" kata Abu Bakar.
Gua Thur kembali ditelan kegelapan malam. Kini giliran Abu Bakar beristirehat dan Rasulullah SAW pula berjaga. Abu Bakar menggelengkan kepala ketika Rasulullah menawarkan pangkuan Baginda.
"Tak ku rela diriku membebani pangkuan penuh abbarakah itu."
Kita pasti tahu siapa Abu Bakar. Beliau adalah lelaki pertama yang memeluk Islam dan juga salah seorang sahabat yang paling dekat dengan Rasulullah. Dari kembara sejarah, kita kenang cinta Abu Bakar terhadap Al-Mustafa.
Abu Bakar wafat pada usia 63 tahun, pada saat peperangan atas bangsa Romawi di Yarmuk. Jenazahnya dikebumikan disebelah manusia yang paling dicintainya, iaitu Makan Rasulullah SAW. Dia mencintai Nabinya melebihi diri sendiri.
Tidakkah itu mempersonakan?

ERTI LELAKI SEJATI

Lelaki Sejati bukan dilihat dari hasil yang ia capai sahaja, tetapi dari besarnya pengorbanan untuk mencapai tujuan.

Lelaki Sejati bukanlah dilihat dari kecerdasan isi otaknya sahaja, tetapi dari kesanggupan berkongsi ilmu yang ia punya.

Lelaki Sejati bukanlah dilihat dari bahunya yang kekar sahaja, tetapi dari kasih sayangnya pada orang di sekitarnya.

Lelaki Sejati bukanlah dilihat dari suaranya yang lantang sahaja, tetapi dari kelembutannya mengatakan suatu kebenaran.

Lelaki Sejati bukan dilihat dari besarnya musuh yang dilawannya, tetapi dari ia menjadikan Syaitan dan para pengikutnya sebagai musuh yang nyata.

Lelaki Sejati bukanlah dilihat dari jumlah sahabat di sekitarnya sahaja, tetapi dari sikap bersahabatnya pada pada setiap makhluk Tuhan.

Lelaki Sejati bukanlah dilihat dari bagaimana dia dihormati oleh kawannya sahaja, tetapi bagaimana dia juga dihormati oleh lawannya.

Lelaki Sejati bukanlah dilihat dari kerasnya pukulan sahaja, tetapi dari sikap bijaknya memahami persoalan.

Lelaki Sejati bukanlah dilihat dari dadanya yang bidang sahaja, tetapi dari hati yang ada dibalik itu.

Lelaki Sejati bukanlah dilihat dari banyaknya Wanita yang memujanya, tetapi komitmennya terhadap Wanita yang dicintai.

Lelaki Sejati bukanlah dilihat dari jumlah cabaran yang dibebankan sahaja, tetapi dari tabahnya dia menghadapi liku-liku kehidupan.

Lelaki Sejati bukanlah dilihat dari indahnya membaca Al-Quran sahaja, tetapi dari konsistennya dia menjalankan apa yang ia baca.

Lelaki Sejati bukan pintarnya melafazkan sebuah janji suci, melainkan bukti yang pasti.

Lelaki Sejati adalah yang benar-benar Lelaki!