Friday, May 27, 2011

NASIHAT IMAM GHAZALI (MAU'IZAHATUL MUKMININ)

Berikut adalah antara nasihat Imam Ghazali dalam kitab 'Mau'izahatul Mukminin':

1. "Jangan merasa puas hati bila mendengar pujian orang di hadapanmu, atau pun merasa senang bila ditunjukkan rasa kemesraan dan muka manis terhadapmu, sebab yang demikian itu belum tentu timbul dari hakikat batinnya."

2. "Jangan sekali-kali mengadukan segala hal-ehwalmu yang berupa kesusahan dan sebagainya kepada orang lain, sebab dikhuatiri bahawa Allah SWT akan murka lalu diserahkan semua urusan itu kepada orang itu."

3. "Jangan harapkan orang lain akan bersikap sama terhadapmu bila berada di belakangmu sebagaimana yang anda kenal kepadanya di masa berdepan denganmu. Harapan semacam itu adalah sia-sia belaka dan tidak betul."

4. "Jangan menentang orang lain sehingga terjadi permusuhan di antara kamu bersama, melainkan jika anda melihat sesuatu kemungkaran dalam agama yang dilakukan oleh orang itu, maka ketika itulah boleh anda menentang usaha-usaha kemungkaran yang dilakukannya."

5. "Jangan menilai seseorang menurut keadaan dunianya lalu anda memuliakannya, sebab dunia itu kecil sekali disisi Allah SWT. Jangan sampai anda menjual agamamu untuk mendapatkan benda-benda keduniaan sehingga anda dipandang kecil di mata orang yang memberinya. Mungkin suatu masa kelak anda tidak akan diberi lagi, maka ketika itu anda akan kehilangan harga diri di matanya."

6. "Jika anda mendengar bahawa orang itu pernah mencelamu atau membuat sesuatu keburukan terhadap dirimu, maka sebaik-baik anda serahkan perkara itu kepada Allah SWT serta anda berlindung dengan Allah SWT daripada bahaya-bahayanya. Ingatlah, jangan cuba memikirkan sesuatu rancang balas terhadap perbuatannya itu, sebab yang demikian itu akan lebih membahayakan diri anda."

7. "Jangan memandang kecil, rendah atau hina kepada sesiapapun sama ada yang masih hidup mahupun yang telah mati, kerana bersikap demikian akan membinasakan anda. Sebenarnya anda tiada mengetahui mungkin sekali orang itu lebih baik nasibnya dari anda di belakang hari. Sekalipun orang itu pada lahirnya fasik dan jahat, tidak mustahil pula nasib yang semacam itu akan menimpa dirimu sendiri, sehingga anda mengakhiri hayatmu dalam keadaan fasik dan jahat, sedangkan ia mengakhiri hayatnya dalam keadaan baik dan soleh."

Wahai Bangsaku Melayu.

Amat Sedih Melihat bangsaku tidak bersatu..
Saling Cah Keting..
Semata2 Tamakkan Kuasa dan Harta..
Kerana Hanya Bisikkan Iblis Semata..

Tsunami Kejatuhan Negara2 Islam Telah Tiba..
Jgnlah disalahkan Pemimpin Semata..
Kerana Kehancuran Sesebuah Negara Kerana Seluruh Rakyat..
Termasuk Pemimpin, Rakyat Dan Juga Ulama..

Masihkah Org Melayu Tidak Belajar Dari Sejarah..
Bagaimana Kerajaan Kedah Tua Telah Tumbang..
Akibat Kelalaian Mereka..??

Bagaimana Kerajaan Melayu Melaka Telah Tumbang..
Akibat Kecuaian Mereka..??

Atau Org Melayu Kini Berkata " Takpa "..
Itu Semua Ketentuan Allah Semata2..

Marilah Bangsaku..
Sahutlah Seruan Yang Haq..
Tanpa Pedulikan Beza Pendapat..
Bersatu Ke Arah Kebaikkan..

Penuhkan Masjid Dan Surau Setiap Masa..
Busykan Masa Utk Membangunkan Umat..
Majukan Kampung, Daerah, Negeri Dan Negara..
Waima Hanya Dengan Ganjaran Yang Sedikit..

Allah s.w.t Berfirman :
" Hukum Itu Hanyalah Milik Allah Sahaja "
Surah al-An'am : 57

" Patutkah Mereka Mempunyai Sekutu2 Yang Menentukan Bagi Mereka
Sebarang Percaturan Yang Tidak Diizinkan Oleh Allah "
Surah al-Syura : 21

Sunday, May 8, 2011

SEBAB KENAPA SAYA SUKA MAKAN BUDU....

Rahsia Khasiat Budu Terbongkar
Budu merupakan makanan traditional Kelantan dan Terengganu yang diperbuat daripada ikan bilis atau udang bari yang dijeruk sehingga hancur.

Budu atau sos bilis yang berasal dari negeri sebelah pantai timur Malaysia ini mendapat perhatian dan menjadi kajian para ahli pem...akanan berkhasiat Jepun, Amerika Syarikat, Australia, New Zealand dan Jerman.

Penemuan baru-baru ini membuktikan kandungan budu memiliki gluthaione sebagai bahan antioksidan, mengeluarkan sisa toxic dan meningkatkan daya tahan tubuh (immune) yang dapat memerangi pelbagai penyakit merbahaya dan menghalang kanser.

Budu

Kenyataan ini bagaikan satu kejutan bagi golongan yang selama ini memperlekehkan kewujudan budu yang dianggap makan “kuno”.

Budu didapati berpotensi untuk melawan radikal bebas dan dipercayai mampu menghalang proses penuaan dan mencegah terjadinya penyakit degeneratif seperti aterosklerosis, koroner jantung, penyakit kencing manis, kanser dan selainnya pada peringkat lebih awal.

Kajian mendalam juga mendapati budu turut mengandungi zat antibakteria penyebab [[diarrhoea|cirit (diarrhoea)], penurunan kolestrol darah, pencegah penyakit jantung dan hipertensi.

Budu memiliki zat gizi yang lebih mudah dicerna, diserap dan dimanfaatkan oleh tubuh berbanding jenis protein yang lain. Khasiat budu yang diproses dari ikan bilis yang diperam terbukti mampu mengatasi masalah kanak-kanak yang menderita penyakit diarrhoea kronik akibat kurang zat pada tubuh.

Dengan pengambilan budu sebagai makanan sampingan, ia mampu menggalakkan pertumbuhan berat badan bagi golongan yang menderita penyakit diarrhoea kronik ini serta menyembuhkannya dalam waktu singkat.

Ia juga dapat mempertingkatkan IQ kepada sesiapa yang memakannya. kerana ia merangsangkan sel-sel otak dan akan memperkukuhkan ikatan di antara neuron-neuron serta menguatkan neuron-neuron yang lemah.

Pemakanan budu turut bertindak membantutkan pertumbuhan bakteria raffinosa dan stokiosa, penyebab utama gejala flatulensi dan masalah kembung perut bagi kanak-kanak dan orang dewasa. 2 kelompok vitamin yang terdapat pada budu iaitu, vitamin larut air (vitamin B kompleks) dan vitamin larut lemak (vitamin A, D, E dan K).

Budu merupakan sumber vitamin B yang paling banyak menyumbang kepada pecahan lain seperti vitamin B1 (thiamin), vitamin B2 (riboflavin), asid pantotenat, asid niasin, vitamin B6 dan vitamin B12 (sianokobalamin).

Secara saintifik, budu merupakan penyumbang utama vitamin B12 yang dihasilkan oleh bakteria klebsiella pneumoniae dan Citrobacter frundiin – yang mana vitamin B12 ini tidak dimiliki dari mana-mana sumber makanan laut, ikan-ikan dan daging-daging lain. vitamin B12 ini perlu untuk pembentukan sel darah merah, di mana kekurangan vitaman ini mengakibatkan terjadinya penyakit anemia perisiosa (pucat), sakit perut dan berat badan menurun.

Kadar vitamin B12 dalam budu adalah di antara 1.5 sehingga 6.3 mikrogram per 100 gram bagi setiap satu hidangan atau 2 sudu besar. Jumlah ini jauh lebih cukup untuk keperluan badan manusia dalam sehari. Dengan adanya vitamin B12 para pengamal diet (jaga badan) tidak perlu lagi merasa khuatir akan kekurangan vitamin B12 di dalam badan.

Selain pembekal kepada protein yang tinggi, ia turut mengandungi mineral makro dan mikro dalam jumlah yang cukup. Jumlah mineral zat besi, kalsium dan magnesium adalah sebanyak 9, 39, 2, 87 dan 8.05 mg bagi setiap 100 gram budu. Budu juga mengandungi zat antioksidan dalam bentuk isoflavon.

Seperti halnya vitamin C, vitamin E dan karotenoid, isoflavon juga merupakan antioksidan yang sangat diperlukan oleh tubuh untuk menghentikan reaksi pembentukan radikal bebas.

Radikal bebas merupakan atom atau molekul yang mempunyai satu atau lebih elektron yang tidak berpasangan, sehingga menjadi sangat aktif hingga menyebabkan ketumbuhan tumor, kanser, penuaan dan kematian sel.

Radikal bebas didapati berpunca dari makan seharian yang dimakan dan juga dari reaksi yang terjadi di dalam tubuh. Adanya antioksidan di dalam budu akan mencegah pembentukan radikal bebas tersebut.

Kebiasaannya di dalam apa jua jenis ikan terdapat 3 jenis isoflavon unsur antioksidan iaitu daidzein, glisitein dan genistien. Pada budu, di samping 2 jenis unsur ini, terdapat juga antioksidan faktor 11 (6, 7, 4 trihidroksi isoflavon) yang mempunyai sifat antioksidan paling kuat dibandingkan isoflavon dalam ikan-ikan lain.

Penelitian yang dilakukan di Universiti North Carolina, Amerika Syarikat menemukan bahawa unsur genestein dan phytoestrogen yang terdapat pada budu terbukti dapat mencegah penyakit kanser, proses penuaan dan barah payu dara.

Penyakit jantung koroner (PJK) merupakan salah satu bentuk kelainan pembuluh darah koroner akibat penumpuan lemak di dalam dinding pembuluh darah iaitu satu keadaan yang disebut aterosklerosis. Ini mungkin disebabkan oleh faktor usia, pemakanan, jantina dan keturunan.

Manakala faktor dimodifikasi adalah peningkatan kadar lipida darah (hiperkolestrolemia), hipertensi, obesiti, stress dan kurang aktiviti lasak. Pemakanan budu yang mempunyai sifat hipokolesterolemik (menurunkan lemak darah) seperti kandungan protein, serta makanan, niasin, vitamin E, karotenoid dan kalsium.

Satu ujikaji rambang yang dijalankan, mendapati pengambilan budu sebanyak 150 gm sehari selama 2 minggu dapat menurunkan kadar kolestrol ke tahap luar dari jangkaan.

Selain dari sumber protein yang berkualiti tinggi, budu turut dikenali sebagai sumber serat (dietary fiber) yang baik. Kandungan serat di dalam budu mampu mencapai di antara 8 hingga 10% bagi setiap 100 gm. Ia menyumbangkan kepada 30% dari umlah serat yang dianjurkan oleh National Cancer Research.

Berbanding serat di dalam ikan-ikan atau sumber protein lain, serat pada budu lebih mudah untuk dicernakan. Dari apa yang dinyatakan ini jelas sekali bahawa khasiat serta kebaikan sepiring budu yang dimakan bersama hidangan nasi pagi, tengahari dan malam melampau jangkauan yang anda fikirkan. Budu seumpama cecair pelbagai vitamin yang memenuhi segala keperluan untuk tubuh badan.

Thursday, May 5, 2011

Isteri Penghuni Syurga

Fenomena isteri meleteri suami atau dengan kata lain, tidak menghormati suami, bagaikan sudah menjadi satu perkara biasa bagi kebanyakan pasangan dewasa ini. Malah si isteri seolah-olah tiada sedikitpun merasa bersalah melayani suami mereka seperti adik, kawan atau anak lelaki atau sesiapa sahaja lagaknya.

Apa yang lebih mendukacitakan ialah terdapatnya isteri yang menganggap menjaga hati atau melayani suami dengan bersikap sopan sudah tidak sesuai dalam keadaan masyarakat kita hari ini atau mungkin dianggap sebagai ketinggalan zaman. Ini menunjukkan bahawa tidak sedikit peranan dan pengaruh media massa, terutamanya televisyen, dalam ‘mendidik’ kaum Hawa di zaman ini.

Sebenarnya keadaan ini akan menjadi model yang tidak baik terhadap pertumbuhan jiwa anak-anak yang akan diwarisi dari satu generasi ke satu generasi lain sehingga akhirnya menjadi satu budaya yang negatif dalam kehidupan berkeluarga.

Terdapat banyak nash-nash di dalam Al-Quran dan hadis Rasulullah SAW yang menyatakan tentang kewajipan isteri mentaati suami, selama mana isteri tidak disuruh melakukan perkara-perkara maksiat. Antaranya ialah sabda Rasulullah SAW: “Jika sekiranya aku berhak menyuruh seseorang supaya sujud kepada seseorang yang lain, nescaya aku menyuruh para isteri sujud kepada suaminya.” (HR Ibnu Majah)

Dalam sebuah hadis yang lain daripada ‘Aisyah r.a.: “Saya pernah bertanya kepada Rasulullah SAW: “Siapa orang yang lebih berhak ke atas seorang perempuan? Baginda bersabda: “Suaminya.” (HR Al-Bazzar dan Al-Hakim)

Sementara dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a.: “Seorang perempuan telah datang menghadap Rasulullah SAW dan berkata: “Wahai Rasulullah, hamba adalah utusan perempuan-perempuan menghadap Tuan, bagi menanyakan perkara bahawa jihad, berperang di medan peperangan kerana membela pada jalan Allah dan agama telah difardhukan ke atas lelaki, jika mereka menang mereka dapat harta tawanan, dan jika mereka dibunuh mereka hidup di sisi Tuhan mereka dan makan rezeki di sana, dan kami kaum perempuan menjaga dan membantu mereka, maka apa yang kami dapat daripada perbuatan tersebut?”

Rasulullah SAW bersabda: “Anda sampaikan kepada perempuan-perempuan yang anda jumpa, bahawa taat kepada suami, dan mengakui hak-hak suami itu sama dengan pahala berperang dengan musuh- musuh Islam di medan peperangan, tetapi sedikit sangat daripada isteri-isteri yang menyempurnakan hak-hak suami mereka.” (HR Al-Bazzar dan At-Thabrani).

Hadis-hadis di atas menerangkan betapa memelihara dan menghormati hak suami serta ketaatan isteri terhadap suami amat dititikberatkan oleh agama Islam. Hatta jika suami itu berkedudukan rendah berbanding dengan isteri, umpamanya suami sebagai buruh sementara isteri pula guru, doktor dan seumpamanya, namun kedudukan atau martabat suami sebagai pemimpin atau ketua keluarga tetap tidak terjejas sama sekali.

Oleh yang demikian, isteri tidak boleh beranggapan bahawa dengan kedudukannya yang lebih baik membolehkannya bertindak sesuka hati seperti membelakangkan suami atau mengambil alih peranan suami sebagai ketua dalam keluarga. Jika ini berlaku, ia amat bercanggah dengan syariat Islam, sebagaimana firman Allah SWT: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita.” (QS An-Nisa’: 34)

Bagi isteri yang tidak mentaati atau enggan menjalankan tugas dan tanggungjawabnya dengan sempurna pasti akan menerima balasan di akhirat kelak sebagaimana yang pernah digambarkan oleh Rasulullah SAW ketika Baginda diisra’kan ke langit dimana Baginda telah diperlihatkan dengan neraka yang kebanyakan penghuninya terdiri daripada kaum wanita.

Sebagaimana yang diceritakan oleh Saidina Ali k.w. dalam satu riwayat: “Suatu hari aku masuk ke rumah Nabi beserta Fatimah, aku mendapati Baginda sedang menangis. Lalu aku bertanya: “Wahai Rasulullah, apa yang membuatkan tuan menangis?" Baginda menjawab: “Wahai Ali, pada malam aku diangkat ke langit, aku melihat kaum perempuan daripada umatku diseksa di neraka dengan bermacam-macam seksaan. Lalu aku menangis kerana begitu berat seksaan mereka yang aku lihat." Saidina Ali k.w. bertanya: “Apa yang anda lihat, wahai Rasulullah?” Rasululah SAW bersabda: “Aku lihat seorang perempuan yang tergantung dengan lidahnya, sedang api neraka yang sangat panas dituangkan ke dalam lehernya dan aku lihat seorang perempuan yang tergantung dengan rambutnya sehingga mendidih otak kepalanya dan aku lihat pula seorang perempuan yang tergantung dua kakinya dalam keadaan terikat dan dilumurkan minyak tanah pada seluruh badanya lalu dituangkan air panas pada lehernya……”

Anakandanya Siti Fatimah r.a. berkata: “Khabarkan kepadaku apa yang menyebabkan mereka diseksa?” Baginda bersabda: “Adapun perempuan yang tergantung dengan lidahnya dan air panas dituangkan ke dalam lehernya itu kerana dia sering menyakiti hati suaminya. Sementara perempuan yang tergantung dengan rambutnya sehingga mendidih otak kepalanya adalah disebabkan dia tidak mahu menutup aurat (rambut) daripada lelaki lain. Adapun perempuan yang tergantung dengan dua kakinya itu adalah disebabkan dia keluar rumah tanpa izin suaminya….”

Sungguh amat dahsyat seksaan yang akan diterima, jika isteri mengabaikan hak-hak suami, tidak menghormatinya, apatah lagi menyakiti hatinya.

Sebenarnya bukan tidak boleh para isteri menegur suami, tetapi ia memerlukan masa yang sesuai dengan dibawa berbincang, ketika keadaan mengizinkan. Bukan dengan membebel sepanjang hari. Tetapi apa yang berlaku hari ini ialah adanya segelintir isteri yang tergamak bercakap kasar dan mengherdik suaminya kerana tidak mendapat apa yang diinginkan, sehingga kadang-kadang sampai tidak bertegur sapa dan bermasam muka.

Lebih dahsyat dan buruk lagi apabila isteri membanding-bandingkan suaminya dengan suami orang lain yang mampu memberikan permintaan isterinya, sekali gus dilabelkan pula sebagai suami mithali. Betapa rendahnya martabat suami. Jadi, suami mana yang tidak tersentuh dengan ungkapan-ungkapan sedemikian ?

Sebenarnya bukan tidak boleh sama sekali meminta sesuatu daripada suami, tetapi janganlah sampai membebankan mereka. Apalah gunanya, jika suami berhutang keliling pinggang hanya untuk memenuhi hasrat isteri. Mintalah mengikut kemampuan suami dan sentiasa bersifat ‘qanaah’ atau merasai cukup dengan apa yang diberikan, kerana bagi isteri yang sedemikian akan mendapat keredhaan daripada Allah SWT. Sebaliknya, bagi isteri yang tidak pernah menghargai atau bersyukur, Allah SWT tidak akan memandang kepadanya, sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

"Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada seorang isteri yang tidak bersyukur kepada suaminya." (HR An-Nasa’i)

Islam juga menyarankan supaya para isteri melakukan kerja-kerja rumah seperti memasak, mencuci pakaian, mengasuh dan menjaga anak-anak, melayani kehendak suami dan sebagainya dengan penuh ikhlas dan tabah. Mungkin bagi setengah orang, agak sukar untuk dilaksanakan apatah lagi dalam situasi zaman sekarang di mana isteri juga bekerja. Namun percayalah, ia bukan saja akan menjadi perkara biasa tetapi juga ringan dan lancar jika kita menganggapnya sebagai ibadah dan juga satu jihad.

Marilah kita sama-sama merenungi kisah anakanda kesayangan Rasulullah SAW iaitu Siti Fatimah az-Zahra yang melaksanakan rutin hariannya sebagai seorang suri rumahtangga tanpa pembantu rumah. Suatu hari, Fatimah telah meminta suaminya Saidina Ali k.w. supaya menemui Rasulullah SAW dan meminta jasa baik Baginda untuk menyerahkan seorang wanita tawanan perang sebagai pembantu rumah mereka.

Rasulullah SAW bagaimanapun tidak dapat memperkenankan permintaan puterinya kerana semua harta rampasan perang termasuk wanita-wanita itu tidak menjadi milik Baginda, tetapi milik negara Islam dan kaum Muslimin. Baginda tidak dapat memberikan sesuatu yang bukan menjadi miliknya.

Permintaan Fatimah itu membimbangkan Baginda, bukan kerana tugas berat yang sedang dipikul oleh puterinya itu tetapi disebabkan oleh bayangan keluh kesah seorang isteri yang tertekan akibat tugas-tugas yang perlu dilaksanakannya.

Pada sebelah malamnya Baginda telah mengunjungi rumah Fatimah dan menyatakan kepadanya: “Apakah kamu berdua (Ali dan Fatimah) suka kepada pemberian yang akan ku berikan ini, sedangkan ia lebih baik daripada apa yang kamu minta pada siang hari tadi?”

Fatimah amat sukacita mendengarkan tawaran tersebut sekalipun dia tidak mengetahui apa bentuknya. Rasulullah SAW menyatakan kepada Fatimah bahawa hendaklah dia membaca Subhanallah, Alhamdulillah dan Allahu Akbar sebanyak 33 kali setiap hari sebelum tidurnya.

Semenjak itu wirid yang diajarkan oleh Rasulullah SAW telah menjadi amalannya dan suaminya. Hasilnya Fatimah mendapati dia tidak lagi menjadi keluh kesah dalam menghadapi apa jua kerja-kerja sehariannya yang berat, malah merasa cukup bahagia melakukannya.

Apa yang berlaku pada hari ini, hampir sebahagian besar keluarga mempunyai pembantu rumah, yang bertanggungjawab menguruskan semua kerja-kerja rumah, termasuk menyediakan makanan, pakaian dan sebagainya. Tanpa pembantu terasa pincang pentadbiran rumahtangga dan banyak perkara yang tidak dapat diuruskan dengan baik dan teratur. Kenapa? Sudah pasti jawapannya mudah, tidak cukup masa untuk melakukan kerja-kerja tersebut terutamanya bagi wanita yang berkerjaya.

Adakah jawapan itu tepat? Kaum wanita harus sedar, selaku isteri, ibu dan juga wanita yang berkerjaya mereka harus pandai dan bijaksana dalam mengatur dan membahagikan tugas dan masa. Jika di amat-amati betapa ruginya selama ini bagi isteri yang membiarkan kerja-kerja rumah ditangani oleh pembantu rumah. Betapa tidaknya, jika kerja-kerja tersebut dilakukan sendiri dengan hati yang ikhlas, dengan mudah saja mereka mendapat ganjaran atau pahala yang berlipat ganda.

Bagi para suami pula, sifat tolak ansur dan saling bekerjasama amat diharapkan. Isteri telah melakukan pengorbanan mencari rezeki tambahan untuk menyara keluarga yang sepatutnya menjadi tanggungjawab suami. Jadi apalah salahnya, kiranya para suami bersama-sama membantu kerja-kerja di rumah. Bukankah ini salah satu ciri keluarga harmoni?

Keharmonian rumah tangga akan terbentuk jika suami dan isteri saling faham memahami, bekerjasama, bertolak ansur, berunding dalam menyelesaikan masalah dan tidak mementingkan diri sendiri. Oleh itu tanamkan ciri-ciri yang membawa keharmonian berumahtangga itu, agar kita akan hidup bahagia di dunia dan akhirat.

WASIAT DARI IMAM SYAFIE.

Muhammad bin Ali bin Shabbah Al-Baldani berkata: “Inilah wasiat Imam Syafie yang diberikan kepada para sahabatnya:

"Hendaklah anda bersaksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah Yang Maha Esa, yang tiada sekutu bagiNya. Dan sesungguhnya Muhammad bin Abdullah adalah hamba dan RasulNya. Kami tidak membezakan para rasul antara satu dengan yang lain. Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidup dan matiku hanya untuk Allah SWT semata, Tuhan semesta alam yang tiada bersekutu dengan sesuatu pun. Untuk itulah aku diperintah, dan saya termasuk golongan orang yang menyerahkan diri kepadaNya."

"Sesungguhnya Allah SWT membangkitkan orang dari kubur dan sesungguhnya syurga itu haq, neraka itu haq, azab neraka itu haq, hisab itu haq dan timbangan amal serta jambatan itu haq dan benar adanya. Allah SWT membalas hambaNya sesuai dengan amal perbuatannya. Di atas keyakinan ini aku hidup dan mati, dan dibangkitkan lagi, insya Allah."

"Sesungguhnya Al-Quran itu adalah kalam Allah SWT, bukan makhluk ciptaanNya. Sesungguhnya Allah SWT di hari akhir nanti akan dilihat oleh orang-orang mukmin dengan mata telanjang, jelas, terang tanpa ada suatu penghalang, dan mereka mendengar firmanNya, sedangkan Dia berada di atas ‘Arsy. Sesungguhnya takdir, baik buruknya adalah berasal dari Allah Yang Maha Perkasa dan Agung. Tidak terjadi sesuatu kecuali apa yang Allah SWT kehendaki dan Dia tetapkan dalam qada’ qadarNya."

"Sesungguhnya sebaik-baik manusia setelah Baginda Rasulullah SAW adalah Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali radhiallahu’anhum. Aku mencintai dan setia kepada mereka, dan memohonkan ampun bagi mereka, bagi pengikut perang Jamal dan Shiffin, baik yang membunuh mahupun yang terbunuh, dan bagi segenap Nabi. Kami setia kepada pemimpin negara Islam (yang berdasarkan Al-Qur’an dan As-Sunnah) selama mereka mendirikan solat. Tidak boleh membangkang serta memberontak mereka dengan senjata. Kekhalifahan (kepemimpinan) berada di tangan orang Quraisy. Dan sesungguhnya setiap yang banyaknya memabukkan, maka sedikitnya pun diharamkan. Dan nikah mut’ah adalah haram."

"Aku berwasiat kepadamu dengan taqwa kepada Allah SWT, konsisten dengan sunnah dan atsar dari Rasulullah SAW dan para sahabatnya. Tinggalkanlah bid’ah dan hawa nafsu. Bertaqwalah kepada Allah SWT sejauh yang engkau mampu. Ikutilah solat Jumaat, jamaah dan sunnah (Rasulullah SAW). Berimanlah dan pelajarilah agama ini. Siapa yang mendatangiku di waktu ajalku tiba, maka bimbinglah aku membaca “Laa ilahaillallah wahdahu lasyarikalahu waanna Muhammadan ‘abduhu warasuluh”.

Di antara yang diriwayatkan Abu Tsaur dan Abu Syu’aib tentang wasiat Imam Syafie adalah:

“Aku tidak mengkafirkan seseorang dari ahli tauhid dengan sebuah dosa, sekalipun mengerjakan dosa besar, aku serahkan mereka kepada Allah Azza Wajalla dan kepada takdir serta iradah-Nya, baik atau buruknya, dan keduanya adalah makhluk, diciptakan atas para hamba dari Allah SWT. Siapa yang dikehendaki menjadi kafir, kafirlah dia, dan siapa yang dikehendakiNya menjadi mukmin, mukminlah dia. Tetapi Allah SWT tidak redha dengan keburukan dan kejahatan dan tidak memerintahkan atau menyukainya. Dia memerintahkan ketaatan, mencintai dan meredhainya. Orang yang baik dari umat Muhammad SAW masuk syurga bukan kerana kebaikannya (tetapi kerana rahmatNya). Dan orang jahat masuk neraka bukan kerana kejahatannya semata-mata. Dia menciptakan makhluk berdasarkan keinginan dan kehendakNya, maka segala sesuatu dimudahkan bagi orang yang diperuntukkannya, sebagaimana yang terdapat dalam hadis."

"Aku mengakui hak pendahulu Islam yang soleh yang dipilih oleh Allah SWT untuk menyertai NabiNya, mengambil keutamaannya. Aku menutup mulut dari apa yang terjadi di antara mereka, pertentangan ataupun peperangan baik besar mahupun kecil. Aku mendahulukan Abu Bakar, kemudian Umar kemudian Uthman kemudian Ali radhiallahu ‘anhum. Mereka adalah Khulafaur Rasyidin. Aku ikat hati dan lisanku, bahawa Al-Quran adalah kalamullah yang diturunkan, bukan makhluk yang diciptakan. Sedangkan mempermasalahkan lafaz (ucapan seseorang yang melafazkan Al-Quran apakah makhluk atau bukan) adalah bid’ah, begitu pula sikap tawaqquf (diam, tidak mahu mengatakan Al-Quran itu bukan makhluk, juga tidak mahu mengatakan Al-Quran itu makhluk”) adalah bid’ah. Iman adalah ucapan dan amalan yang mengalami pasang surut." (Lihat Al-Amru bil Ittiba’, As-Suyuthi, hal. 152-154, tahqiq Mustofa Asyur; Ijtima’ul Juyusyil Islamiyah, Ibnul Qayyim, 165).