Tuesday, April 5, 2011

ASAM JAWA (Tamarindus indica)

Asam jawa tumbuh liar di kawasan barat India dan di benua Afrika bahagian Selatan padang pasir Sahara. Pokok asam telah lama ditanam di negara India dan sekarang boleh didapati di kebanyakan kawasan tropika di benua Asia, Afrika, dan Amerika. Di Malaysia, kita biasa dengan pokok asam jawa yang tumbuh rendang, jarang-jarang melebihi ketinggian 10 m. Daun pokok asam adalah malar hijau serta mempunyai banyak anak daun yang halus. Buah asam jawa tergolong dalam jenis kekacang yang benkok, isinya berketul-ketul dan berwarna perang seperti kayu.

Terdapat beberapa jenis pokok asam, tetapi biasanya ia dibahagikan kepada dua jenis, iaitu yang masam dan yang manis sedikit. Buah pokok asam yang manis di makan sebagai manisan. Kandungan gula dalam buah ini boleh mencapai 40 peratus. Kandungan bahan kimia yang memberi ciri asam pula ialah asid tartar yang boleh mencapai sehingga 14 peratus. Buah asam jawa juga mengandungi karbohidrat, protein, dan lemak. Biji asam jawa pula mengandungi 63 peratus kanji, 14 peratus hingga 18 peratus albuminoid, dan lebih kurang 6 peratus minyak. Ia dijadikan sumber jelos seperti pektin yang digunakan dalam pelbagai industri.

Asam jawa dan akar pokok asam jawa digunakan dalam perubatan tradisional orang Timur untuk menyejukkan badan dan sebagai pelawas buang air besar. Kayu teras digunakan sebagai pelawas buang air besar dan air kecil, ubat penyakit hati, dan penawar kurang selesa. Kulit buah dan kulit kayu asam jawa pula mempunyai kegunaan lain, iaitu sebagai ubat cirit-birit. Ini adalah kerana kulit buah dan kulit kayu mengandungi banyak tanin, manakala isinya mengandungi banyak asid tartar. Kulit kayu juga dibuat losyen untuk mengubati pelbagai penyakit kulit seperti bisul, bengkak, ulser, dan gatal kerana terkena gigitan serangga.

Air rebusan daun diminum sebagai penawar demam panas. Daun muda ditumbuk lumat dan ditampal untuk mengubati penyakit reumatisme, luka , dan bisul. Daun asam jawa yang dicampur dengan kunyit dan ditumbuk lumat jika disapu pada bisul, dikatakan boleh mengubatinya. Jus daun muda boleh mengubati mata merah dengan cara dipanaskan sedikit dan ditapis lalu dititiskan pada mata berkenaan. Kulit kayu direbus dan air rebusan itu diminum untuk melegakan lelah.

Sememangnya asam jawa mempunyai banyak kegunaannya dalam perubatan. Selain daripada mengubati penyakit-penyakit di atas, asam jawa juga boleh mengubati pelbagai penyakit seperti selesema, gatal kerongkong, disenteri berdarah, batuk, sakit otot, jaundis, cacing dalam perut, dan cirit birit.

No comments:

Post a Comment